Peminjam Mula Serbu Kaunter PTPTN di Kuala Lumpur

Peminjam PTPTN

KUALA LUMPUR 6 Nov. – Susulan pengumuman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk menyenaraikan 558,475 nama peminjam yang gagal membuat pembayaran balik sejak 1997 ke dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS), mereka yang terlibat mula ‘menyerbu’ kaunter agensi itu sejak awal pagi ini.

Tinjauan Utusan Malaysia di Ibu Pejabat PTPTN, Wisma Chase Perdana di sini mendapati, rata-rata peminjam datang untuk membuat semakan dan pembayaran.

Salah seorang peminjam, Akhma Rizal Razak, 28, berkata, dia yang menamatkan pengajian pada 2008 terpanggil untuk membuat rundingan tentang jadual pembayaran bagi mengelakkan namanya dimasukkan ke dalam CCRIS.

“Saya mendapat maklumat berhubung tindakan itu semalam dan hari ini saya terus ke kaunter untuk berbincang dan menukar mod pembayaran kepada sistem ujrah bagi mendapatkan penjimatan hampir 50 peratus kos pentadbiran,” katanya.

Menurut ejen insurans, Darius Lee, 31, kedatangannya ke agensi itu adalah untuk menyelesaikan baki pembiayaan pengajiannya yang tertunggak serta menikmati manfaat diskaun sebanyak 20 peratus yang ditawarkan PTPTN.

“Dulu saya bayar mengikut jadual yang ditetapkan dalam tempoh tiga hingga empat tahun, kemudian saya mengalami masalah kewangan dan tidak dapat menyambung pembayaran. Hari ini saya melangsaikan baki hutang kesemuanya kerana dapat potongan,” ujarnya.

Bagi kakitangan hospital, Muaamar Haqimi, 24, langkah menyenaraikan nama peminjam tegar ke dalam CCRIS amat wajar memandangkan jumlah pulangan balik yang diterima PTPTN tidak mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Saya rasa pembayaran balik pinjaman bukanlah sesuatu perkara yang sukar kerana peminjam diberi pelbagai kaedah untuk menyelesaikan tunggakan dan perunding juga akan menyarankan pelbagai langkah untuk membantu mereka,” jelasnya.

Menurut jurutera, Mohd. Nor Fairuz, 29, peminjam juga perlu menggunakan peluang mendapatkan insentif diskaun 10 peratus dengan membuat ansuran bayaran balik selama 12 bulan secara konsisten yang secara tidak langsung dapat mengurangkan kadar bayaran balik.

Jumlah keseluruhan bayaran balik sejak tabung itu diwujudkan pada 30 September 1997 sehingga 30 September lalu adalah RM5.41 bilion melibatkan 996,610 peminjam berbanding RM48.3 bilion yang telah dikeluarkan oleh PTPTN untuk 2.1 juta peminjam di seluruh negara.
Artikel By: Utasan 

Leave your vote

0 points
Upvote Downvote

Total votes: 0

Upvotes: 0

Upvotes percentage: 0.000000%

Downvotes: 0

Downvotes percentage: 0.000000%

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *